Aku tersenyum melihat gambar yang kamu baru saja muatnaik ke laman Twitter. Sahabat aku kata muka kamu sama macam aku, lihat saja saiz badan kita pun kelihatan sama; kurus tinggi. Dulunya aku sedikit yakin kalau perasaan kita juga sama tapi kini aku lebih yakin bahawa kamu sudah ada yang lain. Kecewa, ya sedikit kecewa kerana aku belum sempat mengenali kamu seperti yang lainnya. Atas alasan ini ia mungkin menimbulkan rasa tidak adil untuk menolak kewujudan kamu secara penuh. Jadi sedikit harapan itu mungkin masih ada. Tak banyak, sedikit saja.
Jika tiga bulan yang lepas ialah hari pertama kita bersua muka dan terputus hubungan begitu saja mungkin aku tak terasa kepedihan di jiwa. Tapi dua bulan yang lepas kamu yang mulakan perkenalan senyap tapi kemudian kamu lenyap. Jadi dua bulan ini aku cuma bazirkan masa lapangku dia antara waktu bekerja dan belajar, siang dan malam menjadi pembaca setia garis masa kamu di Twitter. Pedih, ya sedikit pedih kerana aku boleh melihat betapa aktifnya kamu di laman tersebut. Beginilah saudara, biarkan aku putuskan cerita. Jikalau sekali lagi kita bersua muka, aku sendiri yang akan sudahkan apa yang kamu mulakan.
Boleh ya, saudara?
No comments:
Post a Comment